Sunday, March 13, 2011

Benar Vs Batil


Sudah hampir 7 bulan SP tidak menulis sebarang artikel didalam blog SP ni. SP mengambil masa yang agak lama untuk menulis artikel. Hari ini terasa ingin menulis sesuatu didalam blog. Satu pandangan yang ingin dikongsi SP dgn sahabat-sahabat yang membaca blog ini.

Kata-kata Imam Ghazali r.a (kalau tak silap SP, jika salah tolong betulkan), "Kebatilan seringkali akan mengatasi kebenaran kerana disiplin".

Ya, kita umum mengetahui kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan. Tetapi apa yang kita lihat realiti sekarang ini, kebatilan sentiasa mengatasi kebenaran. Ini adalah disebabkan salah satunya ialah disiplin. kader-kader kebatilan merancang dengan penuh teliti untuk mengatasi kebenaran manakala kader-kader kebenaran merancang dengan kurang disiplin walaupun yakin kebenaran pasti mengatasi kebatilan. Ini antara sebab mengapa kebatilan seringkali mengatasi
kebenaran. Sunatullah tidak diikut dengan betul.

Satu analogi SP berikan. Dua orang pekebun menanam pokok jagung di kebun. Pekebun A menanam jagung menggunakan baka jagung biasa, baja biasa, menanam pokok seperti biasa. cucuk,bubuh baja, siram setiap hari. Manakala Pekebun B menanam jagung menggunakan baka jagung yang terbaik,baja yang terbaik menanam pokok dengan taktik tanaman yang berkesan, mempunyai sistem penyiraman berkala terbaik, dan membuat statistik mengenai tanamannya.

Sudah pastinya kedua2 pekebun terbabit akan mendapat hasil dengan izin Allah, tetapi pada fikiran kita yang manakah akan mendapat hasil yang terbaik? Sudah pastinya Pekebun B mndapat hasil yang terbaik kerana dia mengikut Sunatullah.

Begitulah hakikatnya dengan kebenaran. Ia perlu dirancang dengan penuh teliti oleh penegak-penegak kebenaran. setiap mereka perlu mempunyai disiplin yang tinggi. Tetapi disiplin yang bagaimanakah? Pada pandagan SP, disiplin yg dicari dan dipunyai mempunyai 4 ciri iaitu disiplin kepada Allah, disiplin kepada Rasul, disiplin kepada diri dan disiplin kepada masyarakat.

1.Disiplin kepada Allah

Ini merupakan kriteria disiplin yang utama perlu ada pada kader-kader kebenaran. Hubungan dengan Allah perlulah kuat,rapat dan dekat. Ini kerana kepadaNya sahaja kita memohon pertolongan. Tiada tempat bergantung harap selain kepada Allah. Sudah pasti kita tidak dapat melawan kebatilan tanpa bantuan dari Allah. Oleh itu,hubungan denganNya harus rapat. Antaranya sering melakukan Qiamulail, solat Tahajjud, menjaga Solat 5 waktu berjamaah, membaca Al Quran disamping melakukan perkara makruf dan mencegah perkara mungkar. Sesungguhnya perkara-perkara ini dapat mendekatkan kita kepada Allah.

2.Disiplin kepada Rasul

Setiap kader-kader kebenaran perlu menjadikan perjuangan Nabi dan Rasul terutama Rasulullah S.A.W sebagai contoh. Firman Allah swt maksudnya: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". (Surah Al-Ahzaab : Ayat 74). Sesungguhnya setiap kader-kader perlu mengkaji sirah sifat pergerakan (harakah) nabi menyampaikan dakwah dan kebenaran. Untuk menyampaikan kebenaran tidak ada jalan yang terbaik kecuali jalan yang Rasullullah gunakan. Itulah jalan terbaik.

3.Disiplin kepada diri

Setiap kader kebenaran perlu menjaga hati dan diri mereka dari perkara-perkara maksiat. Hati perlu bersih dari segala kekotoran,perkara mazmumah seperti malas, takut dan sebagainya. Makanan yang di makan perlulah datang dari sumber yang halal kerana dari makanan membentuk darah daging. makanan dari sumber halal Inshaallah akan membentuk peribadi yang baik. Setiap kader harus mengerti untuk menjadi penegak kebenaran, sudah pastinya memerlukan semangat dan jati diri yang utuh untuk mengharung badai melawan kebatilan. Sudah pasti menegakkan kebenaran akan ditentang.setiap kader perlu perlu menghadapi dengan bijaksana dan strategi yang berkesan.
Dan yang lebih utama, kader sanggup berkorban harta dan jiwa demi menyebarkan kebenaran.inilah sifat penting yang perlu ada dan yang paling susah untuk dicapai. Berapa ramai yang mampu berkorban pangkat tinggi mereka, gaji-gaji sebulan mereka yang mencecah 10k sebulan, keadaan yang selesa dan serba cukup, anak-anak dan isteri tercinta untuk menegakkan kebenaran. Hanya segolongan kecil sahaja yang mampu. Jika ada sifat ini, Masyaallah betapa besar balasannya nanti diberikan oleh Allah swt diakhirat kelak..
Firman Allah Swt, : " Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri maupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji benar Allah di dalam Taurat, Injil, Al-Quran. Dan siapakah lebih menepati janji selain dari Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itu kemenangan yang agung". (surah At-Taubah:111)

4.Disiplin kepada Masyarakat

Setiap kader-kader kebenaran perlu turun ke masyarakat menyebarkan risalah-risalah kebenaran. Keutuhan semangat perlu ada untuk membawa risalah kebenaran kerana berhadapan dengan masyarakat untuk mendidik mereka mengenai kebenaran bukanlah perkara semudah ABC, petik jari sahaja ramai yang akan datang mendengar. Masyarakat perlu dididik secara perlahan-lahan tetapi berterusan (istiqamah). Disini memerlukan pengorbanan yang besar oleh kader-kader kebenaran. Disiplin inilah merupakan output (keluaran) yang dikehendaki. setiap dari masyarakat mendapat risalah kebenaran dan natijahnya sangat besar bagi pihak kebenaran. Dengan risalah kebenaran dididik didalam hati masyarakat, Inshaallah kebatilan tidak dapat beranak didalam masyarakat, wang dan pangkat tidak dapat merasuahi masyarakat untuk menerima kebatilan.

Inilah titik mula yang perlu dilakukan untuk membawa risalah kebenaran. Inshaallah, kebenaran pasti mengatasi kebatilan..

(Tulisan ini ditujukan khas kepada diri sendiri dan kepada sesiapa yang mengaku dirinya Islam dan umat Rasulullah SAW!!)


1 comment:

  1. TTT amat terkesan dengan entry n tulisan brother SP yang memberi kesan.Kadangkala,jadual hidup yang padat membuatkan kita sangat terbatas utk menulis.

    Pejuang Muda spt SP wajar terus menulis demi Ummah yang memerlukan segala isi dan tauladan yang baik...

    Ayuh kita menyentuh manusia~

    ReplyDelete